Your journey is my story...

22 March 2010

HAD KESABARAN

"Sabar itu ada hadnya". Inilah yang sering kita dengar bila seseorang itu naik marah kerana sudah hilang sabar atas sebab-sebab yang tertentu. Saya rasa andapun pernah mendengarnya. Bila kita selalu mendengar ungkapan ini lambat laun ia bakal menjadi prinsip diri kita malah kita sendiri adakalanya menggunakan alasan ini untuk memarahi orang lain.

Persoalannya sabar ini adalah sesuatu yang subjektif dan ia berbeza dari seseorang kepada seseorang yang lain. Ada yang boleh melenting atas sebab yang terlalu kecil dan tak munasabah.

Kalaulah kesabaran itu boleh dipetakan maka saya rasa ada orang yang hadnya cuma selangkah, ada yang di Perak, ada yang di Myanmar, ada yang di India, ada yang England, di Amerika dan sebagainya. Bagi yang hadnya cuma selangkah maka amat mudah bagi mereka untuk melenting tak tentu pasal dan bagi yang had kesabarannya jauh mereka akan hanya melenting bila kesalahan itu merupakan satu kesalahan yang besar dan patut diperbetulkan.

Mereka yang dekat had kesabarannya selalunya tidak bersikap adil kepada mereka yang had kesabarannya jauh. Ini kerana mereka akan cepat melenting sedangkan yang jauh akan selalu dapat bersabar.

Pun begitu kesabaran merupakan salah satu sifat yang memang ada dalam diri manusia semenjak azali. Kita boleh hilang kesabaran kalau kena pada tempatnya. Kita perlu mempertahankan hak kita iaitu ianya boleh digunakan dalam keadaan yang tertentu sebagai contoh sekiranya ada orang yang mengganggu isteri atau anak-anak kita, mengambil hak kita dan sebagainya.

Di zaman moden ini ramai orang menjadi hamba kepada emosi mereka.

Dalam surah Ali-Imran ayat 134, Allah memuji orang-orang yang bertakwa dan antara sifat yang mereka miliki ialah ;

“Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga suka memaafkan kesalahan orang lain.”

Siapakah manusia yang gagah? Berhubung dengan ini Nabi bersabda;

“Manusia yang gagah bukanlah dia yang mampu menjatuhkan lawannya.sebaliknya yang gagah ialah dia yang mampu mengawal perasaan marahnya.”

Mereka yang mampu mengawal perasaan marah melambangkan peribadi yang mampu mengawal diri mereka sendiri. Orang yang mampu mengawal diri sendiri untuk tunduk kepada Allah sedang berjalan menuju ke syurga. Sahabat Nabi yang bernama Abu Dardak pernah menyoal Nabi,

“ Ya Rasulullah, tunjukkan kepadaku satu amalan yang akan membawa aku ke syurga.”

Nabi menjawab,

“Janganlah engkau marah !”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam At-Thabrani dan Ibn Abid Dunya.

Apakah yang berlaku di dalam diri anda ketika anda sedang marah? Mengikut artikel ‘Anger is Hostile To Your Heart’ yang dimuatkan di dalam majalah ‘Harvard Gazette’, perasaan marah memberi kesan yang negatif kepada jantung. Mengikut Profesor Ichiro Kawachi dan rakan-rakannya, orang-orang tua yang sering marah-marah mempunyai risiko tiga kali ganda menghidap sakit jantung berbanding rakan-rakan mereka yang lain. Para pengkaji berpendapat, pengeluaran hormon “stress”, peningkatan keperluan jantung kepada oksigen dan kecenderungan darah khususnya darah platelet untuk membeku menyebabkan peningkatan risiko ini.

Jadi dari masa ke semasa belajarlah menjauhkan had kesabaran anda sehingga anda boleh menjadi seorang yang penyabar dan dapat menghadapi apa juga tekanan dengan tenang.



dipetik daripada sebuah petikan.
boleh sebarkan untuk kebaikan.

2 comments:

intan syazlin said...

hehe. takmo la marah2 kang boleh kena sakit jantung. :)

so lepas ni kita kawal ok had kesabaran masing2. heeee

Maxx Ikhwandy said...

haha... no prob at all la..